KUALA LUMPUR: Semua 10 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 rakyat Malaysia yang ditahan di perairan antarabangsa berdekatan Crete, Greece pada Khamis telah dibebaskan di Pelabuhan Lerapetra, Crete. Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata mereka antara 175 aktivis kemanusiaan GSF yang dibawa ke Lapangan Terbang Heraklion dengan bas disediakan pihak Greece.
Bantuan Penerbangan dari Turki
SNCC dimaklumkan kerajaan Turki menyediakan sebuah pesawat berkapasiti 160 penumpang bagi membawa pulang 20 aktivis kemanusiaan warga negara itu, selain menawarkan tempat kepada mana-mana aktivis GSF untuk turut menaiki penerbangan berkenaan.
“Pelepasan penerbangan tersebut dari Lapangan Terbang Heraklion dijangka pada 10.15 malam waktu Malaysia dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 11.45 malam waktu Malaysia,” katanya pada sidang media. Beliau mengesahkan 10 aktivis Malaysia yang telah dibebaskan akan terbang ke Istanbul.



