Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, hari ini mengesahkan bahawa kerja pembinaan helipad baharu yang 'cantik' sedang dijalankan di White House, sebagai sebahagian daripada projek pengubahsuaian terbaru yang diarahkannya secara peribadi ke atas bangunan ikonik itu.
Helipad di South Lawn
Helipad tersebut terletak di South Lawn, kawasan yang selama beberapa dekad menjadi latar gambar presiden dan keluarga mereka berjalan di atas rumput untuk menaiki atau meninggalkan helikopter 'Marine One'. Menurut laporan Washington Post, kontraktor telah diminta mempercepatkan kerja bagi menyiapkan helipad sebelum lawatan negara Presiden China, Xi Jinping, yang dijadualkan pada September nanti.
"Sekarang kami membina helipad, helipad yang cantik, dan ia mempunyai meterai White House — dalam granit, granit yang diukir, ia... benar-benar sesuatu yang cantik," kata Trump kepada pemberita.
Masalah rumput akibat helikopter baharu
Tempat pendaratan baharu ini bertujuan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan armada helikopter presiden baharu yang dibina oleh Sikorsky. Walaupun sebelum ini dilaporkan bahawa ekzos helikopter menghanguskan rumput, Trump semalam menambah bahawa aliran udara yang terlalu kuat menyebabkan rumput "tercabut".
"Jadi mereka mendaratkan helikopter, dan separuh daripada rumput berada di hadapan pintu Oval Office. Selebihnya bertaburan di merata tempat," katanya.
Sikorsky telah bersetuju untuk membiayai projek tersebut, menurut Trump, kerana syarikat itu berasa "sedikit bersalah" mengenai masalah rumput itu. "Ia kira-kira AS$5 (RM20.4 juta) atau AS$6 juta — mereka membayar penuh kos, dan apabila saya dengar mereka membayar kos, saya pun berkata, 'mari buat yang cantik, jangan hanya buat konkrit dan cat putih,'" katanya.
Bagaimanapun, Washington Post melaporkan kos projek itu sekurang-kurangnya dua kali ganda — AS$13 juta — yang turut merangkumi pengubahsuaian South Portico dan jalan masuk bersebelahan.
Tiang Corinthian dan dewan bola
Pada masa yang sama, kerja sedang diteruskan untuk projek White House yang lebih besar — penambahan dewan bola besar oleh Trump. Projek ini menyaksikan Trump merobohkan East Wing yang bersejarah, dan telah mencetuskan pertikaian undang-undang kerana perubahan besar dilakukan tanpa kelulusan Kongres.
Bercakap kemudian kepada sekumpulan tetamu di Rose Garden White House yang bersejarah — yang telah diubah suai Trump menjadi patio mirip ladang Mar-a-Lago di Florida — beliau merungut mengenai saman tersebut. "Dalam dunia yang kita diami ini, terutamanya jika nama anda Trump, anda akan disaman," katanya.
Beliau mendakwa saman undang-undang itu telah menyebabkan pembinaan "pusat ketenteraan rahsia yang hebat" di bawah dewan bola yang akan didedahkan nanti. Trump juga telah membayangkan perubahan pada tiang North Portico yang berusia 200 tahun — yang bergaya Ionic dan bukan gaya Corinthian yang lebih rumit yang menjadi pilihannya — dan baru-baru ini ditutup dengan perancah. Pada hujung minggu lalu, beliau memuat naik gambar rekaan seni bina tiang Corinthian yang dihiasi kepala singa di White House.



