PETALING JAYA: Tragedi Double Six yang meragut nyawa 11 orang, termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Fuad Stephens, harus menjadi peringatan kepada rakyat Sabah untuk kekal bersatu dalam mempertahankan hak negeri, kata Donald Peter Mojuntin.
Donald, yang bapanya Peter Mojuntin antara mangsa, berkata nahas pesawat itu kekal sebagai salah satu peristiwa paling signifikan dalam sejarah negeri, lapor The Star.
“Peristiwa ini harus mendorong kita untuk bersatu dan berdiri lebih kuat sebagai satu, untuk memperjuangkan masa depan kita dan melindungi hak kita tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang,” kata Donald pada majlis peringatan awal hari ini.
Antara yang hadir termasuk Ceaser Mandela Malakun, pembantu menteri kepada ketua menteri mewakili Hajiji Noor, dan anak Fuad, Asgari Stephens.
Pada 6 Jun 1976, pesawat GAF Nomad yang membawa Fuad dan beberapa pemimpin negeri terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu, mengorbankan semua yang berada di dalamnya. Mangsa lain termasuk menteri negeri Salleh Sulong dan Chong Thien Vun.
Siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia, pengeluar pesawat GAF, dan jabatan pengangkutan Australia. Namun, dapatan mereka tidak diumumkan sehingga April 2023.
Walaupun laporan Malaysia tidak menemui bukti sabotaj, kebakaran atau letupan, laporan Australia menyimpulkan bahawa Sabah Air, pengendali penerbangan itu, beroperasi secara haram pada masa itu, dengan manual operasinya tidak diluluskan oleh jabatan penerbangan awam persekutuan ketika itu.
Secara berasingan, Borneo Post melaporkan bahawa tetamu memerhatikan senyap satu minit sebelum meletakkan kalungan. Kalungan pertama diletakkan oleh Malakun, diikuti oleh wakil keluarga mangsa.
Tahun lalu, keluarga mangsa menyeru kerajaan persekutuan untuk menubuhkan sebuah yayasan sebagai pengiktirafan bermakna terhadap insiden itu.



