KUALA LUMPUR, 9 Mei — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam berkenan menyaksikan demonstrasi udara jet pejuang pelbagai peranan generasi kelima, Sukhoi Su-57E, yang diterbangkan oleh juruterbang uji terkenal Rusia dan penerima anugerah 'Hero of Russia', Sergei Bogdan.
Demonstrasi di Zhukovsky International Airport
Demonstrasi penerbangan selama hampir tujuh minit di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky di Moscow itu mempamerkan keupayaan teknologi ketenteraan moden Persekutuan Rusia, termasuk sistem radar canggih dan kapasiti operasi pelbagai peranan jet pejuang tersebut.
Menurut satu hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, baginda turut diberi taklimat mengenai jet pejuang itu dan berkesempatan memeriksa bahagian dalam Su-57E selepas ia mendarat susulan persembahan udara.
Sergei Bogdan: Juruterbang Uji Utama
Bogdan, 64, telah menjadi juruterbang uji utama untuk syarikat pengeluar pesawat Sukhoi sejak tahun 2000 dan dikenali sebagai tokoh utama dalam program pembangunan pesawat tempur generasi kelima Rusia.
Sebelum itu, ketibaan baginda disambut oleh Timbalan Pengarah Perkhidmatan Persekutuan Rusia untuk Kerjasama Teknikal Ketenteraan (FSMTC), Mikhail Petukhov.
Turut mengiringi baginda ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai.
Sultan Ibrahim tiba di Moscow pada Rabu lepas atas jemputan khas Kerajaan Rusia sebagai tetamu kehormat sempena sambutan ulang tahun Hari Kemenangan esok. — Bernama



