MUAR, 29 April — Seorang ahli perniagaan kerugian RM610,000 selepas menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan luar biasa tinggi.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, lelaki berusia 49 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook sebelum menghubungi suspek melalui WhatsApp.
“Terpikat dengan pulangan lumayan sehingga 750 peratus, mangsa membuat beberapa pembayaran ke pelbagai akaun bank bermula 1 April,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, mangsa juga dimaklumkan oleh suspek bahawa semua urusan pelaburan akan dikendalikan oleh seorang broker.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan yang dikatakan diperoleh daripada pelaburan tersebut.
“Dia kemudian membuat laporan polis semalam (28 April) bagi tujuan tuntutan insurans atas kerugian yang dialami,” katanya sambil menambah bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Raiz Mukhliz menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi yang luar biasa. — Bernama



