'Barah' Rohingya perlukan penyelesaian menyeluruh, kata Timbalan KPN
Rohingya: Ayob gesa penyelesaian menyeluruh

KUALA LUMPUR: Kewujudan penempatan haram etnik Rohingya di Malaysia memerlukan penyelesaian terancang dan menyeluruh kerana masalah itu sudah menjadi 'barah' yang semakin sukar dibendung, kata Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata isu itu bukan perkara baharu, sebaliknya berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk ditangani secara berkesan.

“Daripada jumlah itu 197,591 adalah warga Myanmar dan 128,200 daripadanya merupakan etnik Rohingya,” katanya merujuk statistik setakat April lalu menunjukkan terdapat 219,472 pemegang kad UNHCR di Malaysia.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan sempena peringatan Hari Polis ke-219 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia, hari ini.

Isu penempatan Rohingya kembali menjadi perhatian susulan pendedahan kewujudan bangunan haram dipercayai dihuni etnik itu di Hulu Langat. Ia membawa kepada penahanan 42 warga asing dalam operasi di Flat Rancangan Sungai Tekali, Hulu Langat, 9 Jun lalu.

Ayob berkata usaha menangani isu Rohingya tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau Jabatan Imigresen semata-mata.

“Polis adalah penerima terakhir dalam rantaian ini. Dari sudut keselamatan dan jenayah, kita akan ambil tindakan jika mereka terlibat dalam sebarang kesalahan.

“Namun, apabila mereka ditangkap dan dihukum, timbul persoalan ke mana mereka hendak dihantar semula. Sebab itu isu ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk negara sumber dan negara lain yang berkaitan,” katanya.

Katanya, operasi membanteras penempatan pendatang tanpa izin termasuk melibatkan etnik Rohingya dilaksanakan berterusan pihak berkuasa.

Mengulas cadangan mewujudkan pusat penempatan Rohingya di sebuah pulau berhampiran Laut Andaman, Ayob berkata pelbagai perkara perlu diteliti terlebih dahulu termasuk aspek pengurusan, pembiayaan dan penempatan semula mereka.

“Adakah negara ketiga sanggup menerima mereka? Ini antara persoalan utama yang perlu dijawab sebelum sesuatu cadangan itu dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kewujudan pusat transit khas berpotensi menjadi faktor penarik yang boleh dieksploitasi sindiket penyeludupan manusia untuk membawa lebih ramai migran ke rantau ini.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga