Seorang remaja lelaki Perancis berusia 18 tahun telah didakwa di mahkamah Singapura atas kesalahan khianat dan gangguan awam selepas dia menjilat straw dan memasukkannya semula ke dalam mesin layan diri jus oren.
Menurut dokumen mahkamah yang dikeluarkan pada hari ini, Didier Gaspard Owen Maximilien, 18 tahun, didakwa merakam dirinya sendiri sedang 'menjilat straw dan meletakkannya semula di mesin layan diri'. Video tersebut kemudiannya dimuat naik ke Instagram dengan pengetahuan bahawa ia 'akan atau mungkin akan menyebabkan kegusaran kepada orang awam'.
Remaja itu sedang belajar di Singapura
Remaja tersebut, yang menurut rekod mahkamah sedang menuntut ilmu di Singapura, kini berdepan dengan dua pertuduhan. Pertuduhan pertama adalah gangguan awam yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan dan denda. Manakala pertuduhan kedua adalah melakukan khianat, di mana Maximilien didakwa mengetahui bahawa perbuatannya 'mungkin menyebabkan kerugian atau kerosakan yang salah' kepada syarikat iJooz yang mengendalikan mesin layan diri tersebut.
Akibat perbuatan Maximilien, syarikat iJooz terpaksa menggantikan kesemua 500 straw di dalam dispenser mesin layan diri itu. Kesalahan khianat membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan dilakukan pada 12 Mac
Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 12 Mac lalu. Pertuduhan telah difailkan di Mahkamah Daerah pada hari Jumaat lepas, dan sebutan kes seterusnya akan diadakan pada 22 Mei.
Menurut laporan akhbar The Straits Times, video tersebut 'tular dengan pantas, mencetuskan kejutan dan kebimbangan dalam kalangan netizen'.



