Kerajaan telah memperuntukkan RM8 juta untuk membaiki dan menaik taraf terowong Sungai Lembing di sini sebagai sebahagian daripada usaha merancakkan semula pelancongan di bekas bandar perlombongan bijih timah itu.
Projek bermula tahun depan
Projek itu dijangka meningkatkan daya tarikan Sungai Lembing sebagai destinasi pelancongan dan memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi tempatan, kata Timbalan Menteri Ekonomi Shahar Abdullah.
"Kerja-kerja menaik taraf dijangka bermula tahun depan, dan kami akan memastikan keselamatan pengunjung menjadi keutamaan sepanjang tempoh itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pementasan teater "The Stories of Sungai Lembing" di Teater PCCL di sini hari ini.
Shahar, yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, berkata pementasan itu adalah antara inisiatif untuk mengukuhkan aktiviti pelancongan dan kebudayaan di bandar bersejarah itu sementara menunggu pembukaan semula terowong Sungai Lembing, salah satu tarikan utama kawasan itu.
Teater hidupkan semula PCCL
"Pementasan ini berjaya menghidupkan semula kegemilangan Teater PCCL, yang pernah menempatkan salah satu panggung wayang terawal di Pantai Timur. Selepas sedekad, venue ini kembali hidup melalui pementasan teater ini," katanya.
Shahar berkata pementasan itu juga bertujuan untuk mengetengahkan tarikan pelancong lain di dalam dan sekitar Sungai Lembing kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa, termasuk perkampungan Orang Asli di Sungai Mas yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, serta Bukit Panorama dan Air Terjun Pelangi.
"The Stories of Sungai Lembing" akan dipentaskan pada 11 Julai, 15 Ogos dan 12 September, pada pukul 11 pagi dan 3 petang setiap hari.



