Polis dan KPDN serbu premis di Miri, rampas lebih 5,000 liter diesel
Polis KPDN rampas 5,000 liter diesel di Miri

Polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah premis perindustrian di Senadin, Miri, semalam dan merampas diesel yang dipercayai diseleweng, bersama peralatan dan jentera, dengan jumlah rampasan bernilai RM94,787.50.

Dua lelaki tempatan ditahan dalam serbuan

Ketua Polis Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata dua lelaki tempatan berusia 40 dan 49 tahun ditahan dalam serbuan jam 10 pagi itu.

“Pemeriksaan menemui kira-kira 5,250 liter diesel, sebuah lori tangki 5,000 liter, tangki skid 10,000 liter dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Premis dijadikan pusat pengumpulan diesel

Mohd Farhan berkata siasatan awal mendapati premis itu dijadikan pusat pengumpulan diesel yang dibeli daripada pemandu kenderaan berat di sekitar Miri sebelum disimpan dan dijual semula kepada pemain industri di kawasan tersebut.

“Pemilik premis mempunyai permit KPDN untuk membeli dan menggunakan diesel tanpa subsidi dengan kapasiti simpanan sehingga 10,000 liter, tetapi kemudahan itu dipercayai disalahgunakan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah diserahkan kepada cawangan KPDN Miri untuk tindakan lanjut. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga