Pembuka Piala Dunia Dicemari Kekecohan
Pembukaan Piala Dunia di Mexico City semalam menyaksikan puluhan penunjuk perasaan bertempur dengan polis di luar Stadium Azteca, ketika perlawanan pertama antara Mexico dan Afrika Selatan berlangsung di hadapan 80,000 peminat.
Kumpulan guru, saudara kepada warga Mexico yang hilang, dan aktivis pelajar berkumpul awal pagi semalam di luar stadium dengan kehadiran polis yang padat.
Beberapa penunjuk perasaan menembusi sekatan dan bertumbuk dengan pegawai yang mengawal perimeter stadium, sejurus selepas Mexico menjaringkan gol pertama kejohanan.
Segelintir anak muda memecahkan cermin kenderaan dengan kayu besbol manakala polis melepaskan gas pemedih mata dan menghantar pasukan berkuda untuk mengawal penunjuk perasaan, yang bertempiaran lari.
Kerajaan Mexico telah berdepan dengan bantahan selama berminggu-minggu, terutamanya oleh guru yang menuntut keadaan kerja yang lebih baik.
Pada satu ketika, bantahan itu hampir menghalang bandar itu daripada menganjurkan zon peminat rasmi Piala Dunia di Zocalo yang terkenal. Namun, ribuan peminat membanjiri dataran itu, menolak dan berebut-rebut melalui sekatan logam, mewujudkan suasana huru-hara sejurus sebelum sepak mula perlawanan pembukaan.



