Pemangku Raja Kelantan terima Fahmi, bincang akaun palsu media sosial
Pemangku Raja Kelantan terima Fahmi, bincang akaun palsu

Pemangku Raja Kelantan Terima Menteri Komunikasi

KOTA BHARU, 17 Jun — Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, telah berkenan menerima kunjungan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Istana Kota Lama, di sini semalam.

Majlis menghadap yang berlangsung di Istana Kota Lama bermula jam 5 petang semalam, menurut kenyataan Pejabat Media Sultan Kelantan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa sesi menghadap bertujuan untuk memberi taklimat kepada Pemangku Raja mengenai perkembangan dan laporan terkini yang berkaitan dengan skop kerja Kementerian Komunikasi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Antara isu utama yang dibentangkan adalah isu semasa dan masalah akaun palsu yang semakin berleluasa di media sosial, terutamanya melibatkan penyebaran berita palsu dan kandungan negatif berkaitan Institusi Diraja Malaysia.

Semasa majlis yang berlangsung kira-kira sejam itu, Tengku Muhammad Fakhry turut berkenan menerima cenderahati daripada Fahmi sebagai tanda penghormatan.

Mengiringi Fahmi pada majlis tersebut ialah Setiausaha Sulit Kanan Menteri Komunikasi, Mohamad Asif Afifi Mohd Yusof; pegawai mengiring Menteri Komunikasi, Tuan Ahmad Afifi Hamdan Tuan Aziz; serta kakitangan dari pejabat Menteri Komunikasi.

Majlis turut dihadiri oleh pegawai kanan dari Pejabat Sultan Kelantan dan diakhiri dengan sesi ramah mesra serta sesi bergambar bersama tetamu jemputan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga