Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata Malaysia amat berminat untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan perumahan dengan Singapura melalui inisiatif mobiliti bakat dan perkongsian pengetahuan.
Beliau menjelaskan bahawa melalui kerjasama yang dipertingkatkan, Malaysia dapat memperoleh pandangan berharga untuk projek perumahan awamnya sendiri daripada model kejayaan Singapura.
“Singapura terkenal dengan sistem perumahan awamnya, khususnya model HDB, serta Lembaga Pembangunan Semula Bandar (URA).
“Kami berharap dapat berkongsi pengalaman dengan pakar mereka supaya kami dapat terus menambah baik inisiatif perumahan kami,” katanya dalam hantaran Facebook pada Selasa.
Pada Isnin, Nga mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pembangunan Nasional Singapura, Chee Hong Tat, untuk meninjau kemajuan serantau dan memperdalam hubungan dua hala mengenai pembangunan bandar yang mampan.
Kedua-dua menteri menyemak projek yang sedang berjalan di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani tahun lalu dan meneroka bidang kerjasama baharu dalam perumahan mampan dan teknologi pembinaan moden.
Nga juga menyuarakan sokongan padu Malaysia terhadap Singapura menjelang Pengerusian ASEAN yang akan datang pada 2027. Beliau menyatakan keyakinan bahawa Singapura akan terus mempelopori dan memperkukuh kerjasama serantau, memperjuangkan kemampanan dan keterangkuman di tengah ketidakpastian global. — Bernama



