Malaysia hargai peranan Pakistan dalam rundingan Iran-AS
KUALA LUMPUR: Malaysia menghargai peranan Pakistan dalam usaha pengantaraan berterusan membabitkan rundingan Iran-Amerika Syarikat, serta kesediaan negara itu menjadi tuan rumah bagi rundingan seterusnya. Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dinyatakannya ketika panggilan telefon dengan rakan sejawat dari Pakistan, Shehbaz Sharif hari ini, yang turut menyentuh pelbagai perkembangan serantau dan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan.
“Sewaktu panggilan telefon dengan Shehbaz, kami berbincang mengenai pelbagai perkembangan serantau dan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan yang sekian lama terjalin erat,” katanya menerusi hantaran di Facebook. “Saya turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada beliau serta rakyat Pakistan, dengan harapan semoga semangat pengorbanan dan persaudaraan terus memperkukuh keamanan dan kesejahteraan ummah.”
Anwar berkata, beliau dan Shehbaz turut menyentuh perkembangan positif rundingan antara Iran dan AS, termasuk perbincangan berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz yang amat penting kepada kestabilan perdagangan dan keselamatan serantau. “Dalam hubungan ini, Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan pendekatan damai demi menjamin kestabilan rantau Asia Barat,” katanya.
Perdana menteri berkata, beliau dan Shehbaz juga berbincang mengenai kepentingan masyarakat antarabangsa bersuara serta mengambil langkah tegas bagi menghentikan keganasan dan kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza dan Lebanon. “InsyaAllah, hubungan Malaysia dan Pakistan akan terus diperkukuh berlandaskan semangat persahabatan, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap keamanan serta kemakmuran sejagat,” katanya.



