Lelongan tuna Tokyo catat rekod Guinness, Sushizanmai bayar RM12.7 juta
Lelongan tuna Tokyo catat rekod Guinness, bayar RM12.7 juta

Pengendali rangkaian restoran sushi Jepun telah memenangi Guinness World Records untuk tuna paling mahal di lelongan selepas membayar ¥510.3 juta (RM12.7 juta) pada lelongan pertama tahun 2026, lapor Agensi Berita Kyodo.

Tuna biru seberat 243 kilogram

Tuna sirip biru seberat 243 kilogram itu ditangkap di perairan Oma di Wilayah Aomori, timur laut Jepun. Kiyomura Corp, yang mengendalikan rangkaian sushi Sushizanmai, membelinya di pasar ikan Toyosu Tokyo pada 5 Januari.

Tuna itu dipotong di cawangan utama Sushizanmai di Tsukiji dan dihidangkan di restoran-restorannya di seluruh Jepun.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Presiden Kiyomura terima sijil Guinness

“Kami akan terus menawarkan tuna berkualiti tinggi pada tahun hadapan dan seterusnya,” kata Presiden Kiyomura, Kiyoshi Kimura, ketika menerima sijil Guinness pada majlis di cawangan utama restoran itu pada 20 April.

Ini adalah kali kedua pengendali itu memperoleh Guinness World Records, selepas sebelumnya diiktiraf untuk tuna sirip biru yang dibeli dengan harga ¥155.4 juta pada lelongan pertama 2013.

Bidaan tertinggi sejak 1999

Menurut Kerajaan Metropolitan Tokyo, bidaan kemenangan tahun ini adalah yang tertinggi sejak data setanding tersedia pada 1999. Bidaan tertinggi di lelongan tahunan, yang hanya ¥36 juta pada 2023, melonjak kepada ¥114 juta pada 2024 dan kemudian kepada ¥270 juta pada 2025.

Perbelanjaan besar di lelongan pertama tahun telah menjadi tradisi dalam kalangan pembida, kerana ia dilihat sebagai sumber tuah dan peluang untuk restoran meraih publisiti.

Tarik pelancong

Menyaksikan lelongan tuna awal pagi dari dek pemerhatian pasar merupakan tarikan pelancong utama. Pengunjung dapat menikmati suasana apabila tuna segar dibentangkan dan pembida serta penjual berinteraksi. — Bernama-Kyodo

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga