IPOH, 28 Jun — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia memperkukuh strategi dengan memberi tumpuan kepada pasaran berprestasi tinggi dan stabil termasuk China, Indonesia, Jepun dan India.
Fokus kepada pasaran jarak jauh untuk kepelbagaian
Timbalan Menteri Chiew Choon Man berkata strategi ini turut meliputi pasaran jarak jauh seperti Rusia, Jerman dan Australia bagi memastikan kepelbagaian pasaran.
Beliau berkata kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan industri untuk menangani cabaran operasi dan tekanan kos.
“Momentum sektor pelancongan negara berada pada trajektori positif. Sehingga Mei tahun ini, negara menerima 17.5 juta pelawat, peningkatan 3.4 peratus berbanding 16.9 juta tahun lepas. Prestasi ini membuktikan kita berada di landasan kukuh untuk mengekalkan momentum positif pada 2026,” katanya.
Perasmian Festival Budaya Malaysia 2026
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Budaya Malaysia (FBM) 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini, malam tadi. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Sementara itu, Chiew berkata MOTAC komited untuk meletakkan seni dan budaya sebagai tarikan utama dalam mempromosikan Malaysia di peringkat global, terutamanya bagi menjayakan kempen Visit Malaysia 2026.
Sinergi dengan kerajaan negeri pacu ekonomi
Beliau berkata melalui sinergi dengan kerajaan negeri seperti Perak, budaya tidak lagi terperangkap sebagai khazanah masa lalu, tetapi akan muncul sebagai pemacu ekonomi dinamik yang mampu mengangkat martabat identiti rakyat di persada dunia.
“Sinergi pelancongan budaya ini sangat penting kerana apabila kita memperkasakan budaya tempatan seperti tarian dabus, labu sayong, seni sulaman benang emas atau keunikan gastronomi Ipoh, kita sebenarnya membina produk pelancongan mampan bernilai tinggi.
“Ini adalah strategi dua serampang untuk kita memelihara identiti negara dan pada masa sama, meningkatkan ekonomi akar umbi melalui industri kreatif,” katanya.
Peruntukan RM44 juta untuk pembangunan infrastruktur Perak
Oleh itu, katanya, bagi memastikan hasrat dan momentum pembangunan ini tidak terhenti, sokongan padu dalam bentuk pembangunan infrastruktur adalah sangat kritikal.
Beliau berkata bagi negeri Perak di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kerajaan persekutuan melalui MOTAC memperuntukkan RM44,189,100 melibatkan 13 projek, iaitu enam projek berskala besar dan tujuh projek penyelenggaraan atau peningkatan kemudahan pelancongan berjumlah RM1,393,000.
Enam projek pembangunan berskala besar termasuk pemuliharaan Menara Condong Teluk Intan, menaik taraf bangunan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak.
Selain itu, ia merangkumi menaik taraf Kawasan Pelancongan di Kinta Riverwalk, menaik taraf dan mengubah suai bangunan maklumat sedia ada di Pusat Penerokaan Bakau Lumut, Manjung, membangunkan Bernam Riverfront di Pekan Tanjong Malim, Perak dan membangunkan Eko-Pelancongan Lata Puteh di Selama. — Bernama



