SEOUL, 29 April — Pelancong asing yang melawat Korea Selatan untuk konsert kumpulan gergasi K-pop, BTS, didapati tinggal lebih lama dan berbelanja lebih berbanding pelancong biasa, menurut analisis kerajaan yang dikeluarkan hari ini, lapor Agensi Berita Yonhap.
Data menunjukkan peningkatan mendadak
Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, bersama Institut Kebudayaan dan Pelancongan Korea serta Pertubuhan Pelancongan Korea, menganalisis data kaji selidik di lapangan, telekomunikasi dan kad kredit daripada dua persembahan terbaru BTS di Korea Selatan.
Pelancong asing yang menghadiri konsert pada 21 Mac di kawasan Gwanghwamun, Seoul, sempena kemunculan semula kumpulan itu, tinggal secara purata 8.7 hari dan berbelanja kira-kira 3.53 juta won (AS$2,377).
Ini adalah 2.6 hari lebih lama daripada purata 6.1 hari untuk pelancong biasa pada suku pertama tahun ini, dan 1.08 juta won lebih tinggi daripada purata perbelanjaan mereka sebanyak 2.45 juta won.
Kesan ekonomi di sekitar venue
Hadirin konsert tiga malam awal bulan ini di Goyang, barat laut ibu kota, tinggal secara purata 7.4 hari dan berbelanja 2.91 juta won.
Data transaksi mudah alih dan kad menunjukkan kesan ekonomi yang ketara di sekitar Stadium Goyang, lokasi konsert, dengan jumlah pelancong asing meningkat 35 kali ganda dan perbelanjaan meningkat 38 kali ganda semasa tempoh konsert berbanding tahun sebelumnya.
Kerajaan berusaha memanfaatkan populariti global budaya pop Korea — termasuk muzik K-pop, drama, filem dan permainan — untuk mempromosikan pelancongan di luar Seoul ke kawasan serantau.
“Kami telah mengesahkan bahawa persembahan ‘hallyu’ berskala besar mempunyai kesan jelas dalam menarik pelawat ke kawasan serantau,” kata Kang Jung-won, pegawai dasar pelancongan di kementerian itu.
“Hallyu,” juga dikenali sebagai Gelombang Korea, merujuk kepada populariti global budaya pop Korea.
Acara sambutan di Busan
Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, kementerian merancang untuk mengadakan acara sambutan dua minggu pada bulan Jun yang dikaitkan dengan konsert BTS di Busan, bandar kedua terbesar negara itu, bertujuan menggalakkan pelancong asing meneroka bahagian lain Korea Selatan.
Kang menambah bahawa kerajaan akan memberi tumpuan kepada menghubungkan lawatan asing untuk mengalami budaya Korea dengan tawaran pelancongan budaya yang lebih luas untuk menggalakkan mereka tinggal lebih lama di negara itu. — Bernama-Yonhap



