Seorang peguam hak asasi manusia menggesa kerajaan agar mendidik rakyat Malaysia mengenai nasib etnik Rohingya, ketika sentimen permusuhan terhadap komuniti pelarian itu semakin meningkat di negara ini.
Eric Paulsen gesa tindakan tegas
Eric Paulsen, bekas wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean tentang Hak Asasi Manusia (AICHR), berkata Putrajaya harus mengecam ucapan berbaur kebencian atau tindakan vigilante yang disasarkan terhadap komuniti pelarian yang menetap di Malaysia.
Paulsen berkata, kerajaan perlu menunjukkan kepimpinan yang tegas dan berprinsip untuk melindungi komuniti tersebut, di samping melaksanakan tanggungjawabnya mendidik dan memaklumkan rakyat.
“Tindakan membisu apabila berdepan hasutan bukanlah bermakna bersikap neutral, sebaliknya memberi keizinan (kepada pelaku untuk meneruskan perbuatan tersebut). Kerajaan mesti mengecam secara terbuka ucapan berbaur kebencian yang menyasarkan etnik Rohingya, serta memastikan ancaman dan hasutan ke arah keganasan disiasat dan didakwa jika wajar.
“Rakyat Malaysia berhak mendapat penjelasan jujur tentang siapa sebenarnya etnik Rohingya, mengapa mereka ada di sini, dan apa dasar kerajaan mengenainya,” katanya dalam kenyataan.
“Perlu diingat bahawa perdana menteri ketika itu, Najib Razak, pernah mengadakan himpunan solidariti bersama etnik Rohingya pada 2016, satu pengiktirafan pada peringkat politik tertinggi bahawa penderitaan mereka menuntut belas kasihan. Semangat itu tidak seharusnya hilang.”
Rohingya lari dari penindasan
Paulsen menegaskan, etnik Rohingya melarikan diri ke Malaysia bukan untuk menuntut keistimewaan, sebaliknya untuk berlindung daripada penindasan.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, usaha menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar atau menempatkan semula mereka di negara ketiga setakat ini menemui jalan buntu, menambah bahawa ia satu isu kemanusiaan yang kompleks.
Beliau menggesa rakyat Malaysia supaya menjunjung nilai kemanusiaan dan tidak mengambil tindakan sendiri terhadap etnik Rohingya, sebaliknya menyerahkan urusan tersebut kepada pihak berkuasa.
Bagaimanapun, Anwar berkata, pelarian Rohingya di Malaysia mesti mematuhi undang-undang tempatan atau berdepan tindakan penguatkuasaan, termasuk peraturan membabitkan premis dan operasi perniagaan.
Polis baru-baru ini turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri, susulan gesaan di media sosial untuk menangkap pelarian Rohingya di Perak.



