WASHINGTON: Sebuah jet pejuang Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) telah melepaskan tembakan dan melumpuhkan kemudi sebuah kapal tangki minyak yang cuba melanggar sekatan Washington terhadap pelabuhan Iran, kata pihak tentera AS pada Rabu.
Ini merupakan kali kedua pihak tentera AS melepaskan tembakan ke atas kapal yang dikatakan cuba melanggar sekatan, yang telah dikuatkuasakan sejak 13 April.
Pasukan AS memberi amaran kepada kapal berbendera Iran, M/T Hasna, yang tidak membawa muatan, bahawa ia melanggar sekatan, tetapi anak kapalnya “gagal mematuhi,” maka sebuah jet F/A-18 Super Hornet “melumpuhkan kemudi kapal tangki dengan melepaskan beberapa das tembakan dari meriam 20mm,” kata Central Command (Centcom) dalam satu hantaran di X.
“Hasna tidak lagi dalam perjalanan ke Iran,” kata Centcom, sambil menambah: “Sekatan AS terhadap kapal yang cuba memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran masih berkuat kuasa sepenuhnya.”
Pada 19 April, sebuah lagi kapal berbendera Iran, M/V Touska, cuba melanggar sekatan dan mengabaikan beberapa amaran daripada sebuah kapal pemusnah AS, kata Centcom ketika itu. Kapal perang AS akhirnya mengarahkan anak kapal kapal itu mengosongkan bilik enjin, yang kemudiannya dihantam dengan beberapa das tembakan dari meriam lima inci, melumpuhkan kapal tersebut.
Pasukan Iran secara efektif menutup laluan air penting Selat Hormuz – laluan utama bagi penghantaran minyak dan gas – selepas bermulanya kempen udara AS-Israel menentang Iran pada 28 Februari.
AS mengumumkan sekatan pelabuhan Iran selepas rundingan damai di Pakistan gagal mencapai sebarang kejayaan bulan lalu.
Centcom berkata awal Isnin bahawa lebih 50 kapal komersial “telah diarahkan untuk berpatah balik atau kembali ke pelabuhan bagi mematuhi” sekatan tersebut.



