ESSZone ditingkatkan keselamatan dengan bot peronda, radar dan sistem pengawasan baharu
ESSZone dapat naik taraf keselamatan dengan bot peronda dan radar

KUALA LUMPUR, 16 Julai — Kerajaan terus memperkukuh keselamatan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) melalui pendekatan bersepadu yang melibatkan agensi keselamatan persekutuan, termasuk penambahan aset strategik, pemodenan keupayaan operasi dan peningkatan sistem pengawasan.

Langkah keselamatan baharu di ESSZone

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata langkah-langkah itu bertujuan meningkatkan keupayaan pemantauan, penguatkuasaan dan respons terhadap ancaman keselamatan rentas sempadan di sepanjang pantai timur Sabah.

“Antara kemudahan strategik yang telah dan sedang dilaksanakan adalah penempatan sistem Big Eyes, yang dilengkapi radar dan kamera jarak jauh, di Pulau Ligitan, Tawau, untuk meningkatkan keupayaan pengesanan awal di kawasan berisiko tinggi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) yang bertanya mengenai jumlah aset baharu yang diperuntukkan kepada Markas Keselamatan Kawasan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan agensi keselamatan lain bagi memperkukuh kawalan keselamatan di sepanjang pantai timur Sabah.

Program pemodenan aset PDRM

Shamsul Anuar berkata kerajaan juga melaksanakan program pemodenan aset untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), melibatkan Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Petugas Khas, Komando VAT 69 dan Unit Tindakan Khas (UTK).

Bagi Pasukan Polis Marin, beberapa aset baharu sedang diperoleh, termasuk sebuah Kapal Pengangkut Polis (PTV) untuk Lahad Datu yang sedang dalam proses perolehan, manakala dua kapal peronda di Sandakan dan Lahad Datu sedang menjalani kerja-kerja baik pulih darat.

“Untuk aset bot, sebanyak 21 bot peronda akan ditempatkan di Sabah, termasuk dua Bot Peronda Pantas (FPC) untuk Pasukan Polis Marin di Sandakan dan Lahad Datu yang sedang dalam pembinaan, serta enam Kapal Peronda Pantas (FPV) yang akan ditempatkan di lokasi strategik seperti Sandakan, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tawau dan Semporna.

“Selain itu, kerajaan sedang memperoleh 10 bot operasi khas, merangkumi empat bot tempur untuk Pasukan Polis Marin dan PGA, serta bot taktikal untuk PGA di beberapa kawasan termasuk Beluran, Kunak, Lahad Datu, Semporna dan Tawau,” katanya.

Peningkatan keupayaan operasi

Bagi meningkatkan kesiapsiagaan operasi, beliau berkata kerajaan juga sedang memperoleh 65 motor sangkut (OBM) untuk kegunaan Pasukan Polis Marin dan PGA di Sabah, selain 12 unit enjin 400 kuasa kuda untuk bot tempur Komando VAT 69 dan UTK di Sandakan dan Semporna. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga