Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang telah menahan sebuah kapal tangki yang dipercayai terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah bot nelayan tempatan di perairan Bagan Datuk, Perak.
Kapal tangki dikesan di perairan Pulau Pinang
Pengarah APMM Pulau Pinang, Suffi Ramli, berkata kapal tangki itu dipercayai meneruskan pelayaran ke perairan Pulau Pinang selepas insiden pada Khamis. Beliau berkata, susulan maklumat yang diterima daripada Pusat Operasi Maritim Perak, agensi itu mengerahkan aset untuk mencari dan memintas kapal tangki tersebut.
“Kapal tangki BTS Winter berjaya dikesan dan ditahan 1.2 batu nautika barat Butterworth. Kapal itu membawa 23 anak kapal, terdiri daripada 13 warga Malaysia, lapan warga Indonesia dan dua warga Filipina.
“Siasatan awal mendapati kapal itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengemudi kapal secara melulu atau cuai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiga anak kapal ditahan
Suffi berkata, tiga anak kapal kemudiannya ditahan bersama dokumen berkaitan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat di ibu pejabat APMM Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.



