Polis: Budak 5 tahun naik kerusi sebelum jatuh dari tingkat 24 kondominium
Budak 5 tahun naik kerusi sebelum jatuh dari tingkat 24

BALIK PULAU, 27 Jun — Seorang budak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas jatuh dari unit kondominium keluarganya di Teluk Kumbar di sini dipercayai telah memanjat kerusi yang diletakkan berhampiran tingkap ruang tamu dalam kejadian pada 25 Jun lalu.

Kronologi kejadian

Ketua Polis Daerah Barat Daya, ACP Anuwal Ab Wahab berkata, kanak-kanak itu kemudian ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah, dan polis menerima laporan mengenai kejadian itu awal pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati pada waktu kejadian, mangsa berada di rumah bersama dua adik-beradiknya yang sedang tidur, manakala bapanya keluar sebentar untuk urusan kerja dan ibunya berada di luar negara kerana bekerja.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Mangsa dipercayai terjaga sebelum memanjat kerusi berhampiran tingkap ruang tamu dan kemudiannya terjatuh,” katanya di sini semalam.

Tiada unsur jenayah

Beliau berkata, pemeriksaan forensik di tempat kejadian tidak menemui sebarang bukti atau tanda-tanda penglibatan jenayah.

Anuwal berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian, dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 33(A) Akta Kanak-Kanak 2001.

Latar belakang

Terdahulu, dilaporkan bahawa seorang budak lelaki berusia lima tahun ditemukan mati selepas dipercayai jatuh dari rumahnya di tingkat 24 sebuah kondominium di Teluk Kumbar pada Khamis malam.

Jenazah kanak-kanak itu dibawa pulang ke Petaling Jaya, Selangor untuk urusan pengebumian selepas bedah siasat di Hospital Pulau Pinang selesai. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga