Permintaan tinggi terhadap pertaruhan bola sepak ketika Piala Dunia terus menjadi punca sindiket bookie haram hidup subur, kata pakar kriminologi merujuk transaksi lebih RM100 juta dalam tiga edisi sebelum ini.
Pakar gesa pendekatan holistik
Nur Hafizah Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata angka itu menunjukkan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi kerana sindiket perjudian terus menyesuaikan operasi mereka, terutama menerusi platform digital, selagi permintaan dalam kalangan masyarakat kekal tinggi.
Menurutnya, tindakan menahan bookie atau menyekat laman perjudian hanya mampu memberi kesan sementara jika sikap masyarakat terhadap pertaruhan tidak berubah.
“Walaupun penguatkuasaan dijalankan secara berterusan, sindiket perjudian mempunyai keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keadaan sosial.
“Selain itu, ada unsur normalisasi sosial apabila sesetengah individu melihat pertaruhan sebagai sebahagian pengalaman menonton bola sepak dan bukan jenayah,” katanya kepada FMT.
Nur Hafizah berkata pendekatan lebih menyeluruh diperlukan bagi menangani budaya pertaruhan, termasuk pendidikan awam dan peningkatan literasi kewangan.
“Selain itu pengukuhan institusi keluarga dan pembinaan nilai sosial yang menolak perjudian.”
Piala Dunia 2026 bermula Jun
Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, menjadikannya edisi pertama dianjurkan bersama tiga negara. Kejohanan bermula 12 Jun hingga 20 Julai itu membabitkan 48 pasukan dan 104 perlawanan di 16 bandar tuan rumah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar pada 3 Jun lalu dilaporkan berkata polis memperhebatkan risikan dan penguatkuasaan menerusi Op Soga susulan jangkaan peningkatan aktiviti pertaruhan haram sepanjang Piala Dunia 2026.
Menurutnya, unjuran semasa menunjukkan hampir 90% sindiket perjudian haram kini beralih ke platform digital berbanding kaedah konvensional yang sebelum ini lebih tertumpu kepada bookie fizikal.
Seorang lagi ahli kriminologi R Balasubramaniam berkata sindiket perjudian kini jauh lebih sukar dibendung berbanding Piala Dunia terdahulu kerana hampir keseluruhan operasi mereka beralih ke platform digital.
Katanya, jika sebelum ini pertaruhan banyak dilakukan melalui bookie tempatan, pertemuan bersemuka dan rangkaian fizikal, kini semuanya boleh dilakukan menerusi telefon pintar.
“Peralihan ke platform digital menjadikan operasi lebih pantas dan sukar dikesan.
“Teknologi kewangan terkini seperti mata wang kripto dan akaun rentas sempadan turut digunakan bagi menggantikan kaedah transaksi konvensional,” katanya.



