Pusat data Malaysia perlukan lebih RM81.8 bilion, kata S&P
Pusat data Malaysia perlukan lebih RM81.8 bilion

Pembiayaan besar diperlukan untuk pusat data Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Julai — Sektor pusat data di Malaysia dianggarkan memerlukan lebih AS$20 bilion (AS$1=RM4.09) untuk pembiayaan powered shells dan peralatan dalam tempoh tiga tahun akan datang, berdasarkan anggaran penambahan kapasiti sekitar dua gigawatt (GW), menurut S&P Global Ratings.

Powered shells dan peralatan termasuk struktur fasiliti, infrastruktur kuasa dan penyejukan, serta peralatan rangkaian dan storan.

Kos cip meningkatkan keperluan pembiayaan

S&P Global berkata jumlah pembiayaan menjadi lebih tinggi apabila cip dimasukkan, yang boleh menelan kos satu hingga empat kali ganda kos powered shell, bergantung kepada jenis cip yang digunakan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kami menjangkakan keperluan pembiayaan sedemikian akan melebihi had penumpuan bank domestik setiap sektor, yang kami anggarkan pada agregat sekitar AS$30 bilion.

“Walaupun had baharu AS$30 bilion disediakan, ia mungkin tidak mencukupi untuk membiayai projek pusat data dan cip dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Oleh itu, S&P Global Ratings berkata projek pusat data di Malaysia mencapai titik perubahan.

“Walaupun sebelum ini mereka boleh bergantung kepada pinjaman bank dan ekuiti, mereka perlu meneroka sumber modal alternatif tidak lama lagi,” tambahnya.

Dayasaing kos Malaysia terhakis

Sementara itu, S&P Global Ratings berkata dayasaing kos Malaysia telah terhakis, dengan kos kuasa kini sedikit melebihi purata berbanding rakan serantau Asia Tenggara.

“Kos pembinaan kekal sederhana berbanding pasaran pusat data utama lain di rantau ini.

“Walaupun begitu, kami percaya permintaan tidak mungkin beralih dari Malaysia ke negara jiran semata-mata kerana kos. Lokasi strategik Malaysia kekal sebagai kelebihan terbesarnya,” katanya.

Selain itu, katanya cabaran kekurangan sumber dan kebolehpercayaan yang serupa di seluruh rantau ini menunjukkan bahawa sebarang pengembangan berskala besar di pasaran jiran mungkin juga akan berdepan peningkatan kos infrastruktur dan kos berkaitan.

Malaysia mampu menjadi hab pusat data utama

S&P Global Ratings menjangkakan Malaysia dapat mengatasi cabaran pelaksanaan untuk menjadi salah satu hab pusat data terbesar di Asia Tenggara, dengan hampir tiga kali ganda kapasiti menjelang 2030.

Kedekatan dengan Singapura, kesalinghubungan yang kukuh serta kapasiti kuasa dan air yang semakin meningkat seharusnya mengekalkan daya saing Malaysia, walaupun kos meningkat dan kelulusan lebih ketat. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga