PARIS: Le Mans terpaksa menunggu untuk mengetahui sama ada mereka akan dinaikkan ke Ligue 1 selepas perlawanan mereka di Bastia pada Sabtu digantung akibat bom asap yang dibaling ke padang di Corsica.
Le Mans, yang tersingkir pada 2010, mendahului 2-0 pada pusingan terakhir musim biasa menerusi gol minit ke-91 oleh Milan Robin sebelum insiden berlaku dengan tuan rumah berdepan penyingkiran ke divisyen ketiga.
Pengadil Ruddy Buquet menghentikan perlawanan dan menghantar pemain ke bilik persalinan sebelum mengumumkan sejam kemudian perlawanan tidak akan disambung semula.
Di tempat lain dalam saingan promosi, juara Ligue 1 sebanyak 10 kali Saint-Etienne akan beraksi dalam play-off Jumaat meskipun menewaskan Amiens 5-0. Les Verts akan bertemu sama ada Red Star atau Rodez, yang beraksi dalam suku akhir play-off pada Selasa.
Pemenang play-off Ligue 2 akan menentang pasukan yang menduduki tempat ke-16 di Ligue 1, iaitu Auxerre, dalam perlawanan dua kaki untuk merebut tempat di divisyen pertama musim depan.
Bastia dijadualkan beraksi di Ligue 3 selepas kemenangan 2-1 Laval ke atas Boulogne-sur-Mer. Kelab Corsica dan Le Mans sedang menunggu pengesahan keputusan daripada Liga Bola Sepak Profesional (LFP).



