SUNGAI PETANI, 17 Jun — Jenazah anggota tentera yang terkorban dalam letupan ketika menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Busyra, Merbok berhampiran sini pada jam 5.25 pagi ini mengikut upacara ketenteraan.
Proses Pengebumian
Sebelum itu, bedah siasat ke atas jenazah Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, telah selesai dijalankan pada jam 2.30 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sebelum dimandikan dan dikafankan di hospital tersebut.
Jenazah kemudiannya dibawa pulang ke rumah keluarganya yang terletak di Kampung Tupah Lama, Merbok pada jam 3.35 pagi.
Selepas itu, jenazah dibawa ke Masjid Al Busyra, Merbok untuk solat jenazah yang dipimpin oleh Pegawai Staf Agama Briged Keenam Infantri Malaysia, Mejar Mohd Sobri Che Hassan.
Upacara Ketenteraan
Pengebumian untuk Allahyarham dilaksanakan mengikut upacara ketenteraan sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya dalam pasukan keselamatan negara.
Penyerahan simbolik Bendera telah diserahkan oleh Pegawai Pemerintah Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Wazir Syafiq Nodin kepada Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Fouzi Sulaiman sebelum diserahkan kepada isteri Allahyarham, Siti Fairus Mohamad Yussof, 38.
Allahyarham Norazmi meninggalkan dua orang anak, Nurliana Danishah, 14, dan Muhammad Rizhan Darwish, 8.
Insiden Letupan
Dalam kejadian kira-kira jam 10.57 pagi semalam, Allahyarham Norazmi dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama seorang lagi anggota, Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, dari Skuadron Pertama Rejimen Jurutera Diraja (RAJD) dilaporkan mengalami kecederaan akibat letupan tersebut.
Kedua-dua anggota telah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut, namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia dalam perjalanan.
Mereka dikatakan sedang menjalani latihan balingan bom tangan dalam Latihan Peningkatan Tempur Briged Kedua Infantri Malaysia Rejimen Jurutera Diraja (RAJD) yang dijalankan di Kem Hobart, Gurun. — Bernama



