Jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo, memuji perpaduan pasukan selepas anak buahnya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Republik Czech 2-1 dalam aksi pembukaan Piala Dunia Kumpulan A di Guadalajara.
Korea Selatan terlebih dahulu ketinggalan menerusi gol tanduk Ladislav Krejci pada babak kedua, sebelum bangkit menerusi jaringan Hwang In-beom dan Oh Hyeon-gyu untuk meraih tiga mata penting.
“Sebelum perlawanan, saya memberi dua mesej: jangan berputus asa sehingga akhir dan bersatu sebagai satu pasukan,” kata Hong dalam sidang akhbar.
“Sama ada di atas padang atau tidak, kita perlu bermain sebagai satu pasukan.”
Kemenangan itu hadir walaupun kapten Son Heung-min tampil hambar dengan terlepas lima peluang pada babak pertama sebelum digantikan oleh Oh yang menjadi penentu kemenangan.
Bagaimanapun, jurulatih itu mempertahankan pemain veteran tersebut. “Son adalah pemain terbaik kami dan juga kapten yang sangat stabil. Kami percaya Son telah melakukan yang terbaik,” katanya, sambil menambah pasukan perlu “memperbaiki” penyudah peluang.
Korea Selatan kini berkongsi tiga mata dengan Mexico di puncak kumpulan, sekali gus menyediakan saingan sengit menentang tuan rumah bersama pada 18 Jun.
“Kedua-dua pasukan mendapat tiga mata... perlawanan seterusnya akan menjadi sangat penting,” kata Hong.



