Mongolia pulang rangka dinosaur langka selepas dua dekad
Mongolia telah berjaya memulihkan rangka dinosaur yang jarang ditemui dan koleksi fosil yang dieksport secara haram dua dekad lalu, kata pihak berkuasa pada Rabu, menandakan berakhirnya usaha bertahun-tahun untuk mengembalikan khazanah paleontologi tersebut.
Koleksi itu termasuk rangka Tarbosaurus bataar, yang dianggarkan lebih 50 peratus utuh, bersama 28 kumpulan fosil dinosaur yang ditemui di Gurun Gobi, Mongolia, menurut polis.
Tulang-tulang itu telah diambil secara haram dari Mongolia pada tahun 2006 “bertujuan untuk meraih keuntungan,” kata D. Munkhkhuyag, ketua jabatan perhubungan awam polis.
Agensi kastam Perancis merampas fosil tersebut antara tahun 2013 dan 2015, dan mula mengembalikannya setahun kemudian kepada Mongolia di bawah konvensyen antarabangsa untuk memerangi pemerdagangan haram warisan budaya.
Selepas proses pemulangan yang panjang, fosil-fosil itu tiba di ibu kota Ulaanbaatar semalam dan akan ditempatkan di Muzium Sejarah Alam Negara Mongolia yang baharu, di mana ia akan dikaji dan akhirnya dipamerkan kepada umum.
“Fosil dinosaur ini tidak ternilai dan merupakan warisan yang unik,” kata Manchuk Nuramkhan, pengarah muzium itu, dalam sidang akhbar.
“Kami gembira kerana kanak-kanak dan golongan muda akan berpeluang melihat sendiri warisan dinosaur Mongolia dan belajar daripadanya,” katanya.
Tarbosaurus bataar, saudara terdekat Tyrannosaurus rex, hidup kira-kira 70 juta tahun dahulu, dengan bukti kewujudannya hampir secara eksklusif ditemui di Gurun Gobi, Mongolia.
Manchuk berkata pemulangan fosil itu adalah kemenangan penting bagi usaha memulihkan warisan budaya dan saintifik yang diambil dari Mongolia, serta menonjolkan peningkatan kerjasama antarabangsa menentang perdagangan haram barang antik dan fosil.
Mongolia telah meningkatkan usaha dalam tahun-tahun kebelakangan ini untuk memulihkan fosil dinosaur yang diseludup ke luar negara, kerana permintaan daripada pengumpul persendirian dan rumah lelong telah menyemarakkan pasaran gelap antarabangsa bagi spesimen paleontologi yang jarang ditemui.



