Impian ke Piala Dunia 2026 terhalang visa dan kos tinggi
Impian ke Piala Dunia 2026 terhalang visa dan kos tinggi

PETALING JAYA: Bagi ramai penyokong, Piala Dunia dianggap kemuncak emosi bola sepak — peluang yang jarang hadir untuk menyaksikan negara sendiri beraksi di pentas dunia dan merasai suasana kejohanan secara langsung. Namun, menjelang edisi 2026, impian itu semakin sukar direalisasikan apabila peminat berdepan dua cabaran besar: harga tiket melambung dan peraturan imigresen Amerika Syarikat (AS) yang ketat.

Penganalisis bola sepak Bob Holmes berkata peminat kini tersepit dari dua arah, apabila model harga Fifa dan dasar kemasukan AS menjadikan peluang untuk hadir ke kejohanan itu tidak realistik bagi ramai penyokong, khususnya penyokong dari negara bola sepak sedang membangun. “Saya fikir Fifa dan AS sama-sama bertanggungjawab dalam hal ini,” kata Holmes dalam temu bual FMT.

Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh AS, Kanada dan Mexico akan menjadi edisi terbesar dalam sejarah selepas jumlah pasukan diperluas kepada 48. Namun menurut Holmes, perluasan itu turut mencetuskan harapan yang akhirnya mungkin tidak mampu dipenuhi oleh ramai penyokong. “Peminat menyangka mereka akhirnya berpeluang berada di sana. Mereka sudah lama menyimpan wang, menggadaikan rumah, meninggalkan pekerjaan dan sebagainya,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Halangan visa

Bagi sesetengah penyokong, cabaran pertama bukan wang, tetapi urusan pentadbiran. Siasatan BBC mendapati peminat dari lebih suku negara yang layak beraksi berdepan larangan perjalanan, syarat visa yang ketat atau kadar penolakan permohonan yang tinggi untuk memasuki AS. Isu itu turut menjejaskan pegawai perlawanan apabila pengadil Somalia, Omar Artan, ditolak masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami awal minggu ini walaupun mempunyai dokumen sah. Fifa, yang dilihat tunduk kepada Presiden AS Donald Trump, hanya mampu mengesahkan bahawa Pengadil Terbaik Afrika 2025 itu tidak akan menyertai kejohanan berkenaan. Somalia adalah antara beberapa negara yang terkesan akibat sekatan imigresen ketat diperkenalkan oleh pentadbiran Trump yang berpendirian keras.

Sudah bayar, tetap tersisih

Bagi penyokong, isu ini bukan sekadar soal dasar tetapi kehilangan peluang untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di pentas terbesar bola sepak dunia. Peminat Iraq, Abdulla Adnan, percaya beliau sedang menuju pengalaman sekali seumur hidup selepas negaranya layak ke Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah. Beliau membelanjakan USD$1,800 untuk membeli tiket perlawanan di Boston dan Philadelphia. “Pergi ke stadium, berada dalam suasana orang ramai bersorak, dan melihat pasukan saya sendiri beraksi — itu sangat bermakna bagi saya,” katanya kepada BBC. Namun, mendapatkan visa terbukti mustahil. Dengan perkhidmatan konsular AS di Iraq yang terhad, Adnan pergi ke Jordan untuk membuat permohonan, tetapi ditolak kerana bukan warganegara Jordan. Akhirnya, beliau berputus asa.

Kesnya mencerminkan masalah yang lebih meluas. Analisis BBC menunjukkan sehingga 40% permohonan dari 11 negara yang bertanding ditolak, termasuk Ghana, Algeria, Iran, Haiti, Cape Verde dan Senegal, yang mencatat kadar penolakan 70%. Warga Jordan, Abu Kass, ketika menceritakan pengalaman permohonannya yang gagal, dipetik berkata: “Saya bawa lebih 42 dokumen. Banyak permohonan ditolak sejak tiga hingga empat bulan lalu. Saya tidak tahu seorang pun penyokong yang berjaya mendapatkan visa.”

Akses yang terhad

Sebanyak 42 negara menikmati perjalanan bebas visa menerusi program pengecualian visa AS — tetapi tiada satu pun dari Afrika. Pihak berkuasa AS berhujah sistem itu perlu bagi mengurus risiko keselamatan. Jabatan Negara AS menegaskan setiap permohonan dinilai secara individu dan negara itu tetap “bersedia menyambut pelawat dari seluruh dunia”. Namun, memiliki visa sekalipun belum menjamin kemasukan kerana pegawai di pintu masuk masih mempunyai kuasa mutlak membuat keputusan di pintu masuk negara itu. Pengkritik berkata proses berkenaan mewujudkan ketidaktentuan dan memaksa peminat membuat komitmen kewangan besar tanpa mengetahui sama ada mereka akhirnya dibenarkan masuk ke AS.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Kos tinggi

Selain halangan imigresen, penyokong juga perlu berdepan kos yang semakin meningkat sebaik sahaja berada dalam suasana kejohanan. Model harga Fifa dijangka menggunakan struktur dinamik, dengan harga berubah mengikut permintaan, peringkat perlawanan dan kategori tempat duduk. Tiket peringkat kumpulan mungkin masih dianggap mampu milik, tetapi harga bagi pusingan kalah mati meningkat mendadak, dengan tempat duduk premium mencecah ribuan dolar. Menurut Economic Times, tiket perlawanan akhir berharga USD10,990, hampir RM45,000. Kos penginapan, makanan, penerbangan domestik merentasi benua Amerika Utara, serta pengangkutan ke venue perlawanan turut menjadi perbelanjaan besar yang boleh membebankan penyokong yang datang dari luar negara.

Tekanan berganda buat penyokong

Holmes berkata penyokong pasti berdepan “tekanan berganda — daripada Fifa menerusi harga tiket, dan daripada Amerika menerusi peraturan imigresennya”. “Di satu pihak, mereka bimbang ditahan jika pergi ke Amerika. Di pihak lain pula, walaupun mereka diberi jaminan, mereka tetap mungkin tidak mampu membeli tiket,” katanya. Namun, Holmes melihat masih ada sinar bagi peminat tegar, apabila format kejohanan yang diperluas memberi harapan kepada negara-negara kecil seperti Cape Verde dan Haiti untuk layak lagi pada masa depan. “Mereka pernah melakukannya sekali, dan mereka boleh melakukannya lagi,” katanya. Maghribi, Portugal dan Sepanyol akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2030, manakala Arab Saudi menjadi venue edisi 2034. Mungkin ketika itu, penyokong-penyokong ini akhirnya dapat merealisasikan impian mereka.