Pemain bola sepak maut disambar petir ketika perlawanan persahabatan di Alor Gajah
Pemain maut disambar petir ketika perlawanan bola sepak

ALOR GAJAH: Seorang pemain bola sepak maut selepas dipercayai disambar petir ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan antara Rembau Indian Veteran FC dan Tanjung Minyak FC di Padang Kompleks Rakan Muda Lendu di sini, petang semalam.

Ketua Polis Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar, berkata dalam kejadian pada 5.40 petang itu, mangsa R Thanesh, 28, disahkan meninggal dunia manakala pengadil perlawanan cedera dan seorang lagi individu yang turut terlibat terselamat.

Kronologi kejadian

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada 8.50 malam daripada Hospital Alor Gajah yang memaklumkan seorang lelaki dibawa ke hospital berkenaan selepas tidak sedarkan diri, dipercayai akibat disambar petir.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Siasatan awal mendapati mangsa menyertai perlawanan persahabatan itu pada 5.30 petang dan selepas 10 minit perlawanan berlangsung, hujan renyai dan dentuman guruh menyebabkan tiga individu rebah di atas padang,” katanya ketika dihubungi.

“Mangsa dibawa ke hospital menggunakan kenderaan awam manakala pengadil perlawanan dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan seorang lagi individu tidak mengalami kecederaan serta dilaporkan dalam keadaan baik,” tambahnya.

Tindakan susulan

Ahmad berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat hari ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, berkata badan induk bola sepak negara itu akan mendapatkan laporan penuh daripada Persatuan Bolasepak Melaka dan penganjur.

Katanya, ia bagi meneliti kronologi kejadian serta tindakan yang telah diambil, seterusnya mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam aspek pengurusan keselamatan perlawanan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga