KUALA LUMPUR, 13 Jun — AirBorneo mula menunjukkan peningkatan beransur dalam operasinya apabila pesawat yang terjejas kembali berkhidmat, sementara usaha memulihkan kestabilan operasi diteruskan berikutan siri gangguan penerbangan di seluruh Sarawak dan Sabah.
Peningkatan Beransur
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, berkata syarikat penerbangan itu membuat kemajuan mantap dan terus fokus meningkatkan kebolehpercayaan secepat mungkin.
“Kami sudah melihat peningkatan beransur apabila pesawat kembali berkhidmat dan membuat kemajuan mantap, sementara terus fokus memulihkan kestabilan operasi secepat mungkin.
“Kami akan terus memantau prestasi dengan rapat, memaklumkan penumpang dan memberikan kemas kini apabila keadaan bertambah baik,” katanya kepada Bernama hari ini.
Syarikat penerbangan milik Sarawak itu baru-baru ini menjadi perhatian susulan kelewatan dan pembatalan penerbangan yang menjejaskan beberapa laluan di Malaysia Timur, mendorong permohonan maaf awam daripada syarikat dan kebimbangan dalam kalangan penumpang yang bergantung pada perkhidmatannya, terutama di komuniti luar bandar dan terpencil.
Tanggungjawab Penuh
Menjawab soalan mengenai akauntabiliti, Megat Ardian Wira berkata AirBorneo mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkhidmatan yang disediakan walaupun melibatkan pelbagai pihak dalam ekosistem penerbangan.
“AirBorneo mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkhidmatan yang kami sediakan. Apabila penerbangan ditunda atau dibatalkan, penumpang kami mengharapkan jawapan daripada kami.
“Sebagai pengendali Perkhidmatan Udara Luar Bandar tunggal yang menghubungkan banyak komuniti di Sarawak dan Sabah, kami faham kepentingan mengekalkan sambungan yang boleh dipercayai,” katanya.
Walaupun operasi penerbangan melibatkan penyedia penyelenggaraan, pembekal alat ganti dan pengeluar pesawat, Megat Ardian Wira menegaskan penumpang akhirnya mengenal pasti syarikat penerbangan sebagai penyedia perkhidmatan.
“Penumpang tidak melihat perbezaan itu. Mereka melihat AirBorneo. Itulah sebabnya kami fokus menyelesaikan isu, bekerjasama rapat dengan rakan kongsi dan memulihkan kebolehpercayaan secepat mungkin,” katanya.
Punca Gangguan
Mengenai punca gangguan terkini, Megat Ardian Wira berkata ketersediaan pesawat menjadi cabaran utama, dengan beberapa pesawat menjalani penyelenggaraan dan pembetulan teknikal secara serentak.
Beliau berkata keadaan itu didorong oleh pelbagai faktor, termasuk keperluan pembaikan, ketersediaan alat ganti dan kekangan rantaian bekalan yang melanda industri penerbangan global.
“Kami telah mempergiatkan usaha dengan rakan kongsi penyelenggaraan dan kejuruteraan untuk mengembalikan pesawat ke perkhidmatan dengan selamat dan cepat. Ini termasuk mempercepatkan kerja pembaikan, mendapatkan alat ganti kritikal dan menyemak ketersediaan pesawat setiap hari.
“Keutamaan kami jelas: memulihkan kapasiti, meningkatkan kebolehpercayaan dan meminimumkan gangguan kepada penumpang,” katanya.
Sebagai respons terhadap cabaran itu, AirBorneo sedang mengkaji semula pengaturan sokongan penyelenggaraan, strategi peruntukan alat ganti dan jangkaan tahap perkhidmatan dengan rakan kongsi untuk mengukuhkan daya tahan operasi.
Megat Ardian Wira berkata syarikat penerbangan itu juga meneroka pilihan sokongan tambahan dan pengaturan sumber alternatif untuk meningkatkan fleksibiliti dan mengurangkan risiko gangguan serupa berulang pada masa hadapan.
Semalam, AirBorneo berkata ia sedang giat mengkaji semula pengaturan penyelenggaraan dan bekalan alat ganti, termasuk mencari rakan kongsi tambahan dan alternatif, untuk mendapatkan akses yang lebih pantas dan boleh dipercayai kepada komponen kritikal yang diperlukan untuk operasinya.
Syarikat penerbangan itu juga menegaskan bahawa keselamatan kekal sebagai keutamaan utama dan mana-mana pesawat yang memerlukan perhatian teknikal hanya akan kembali berkhidmat selepas memenuhi semua keperluan operasi dan kejuruteraan.
Operasi Jet
Sementara itu, Megat Ardian Wira berkata pengenalan operasi jet yang dirancang masih berjalan seperti dijadualkan dan diuruskan secara berasingan daripada operasi turboprop sedia ada.
Beliau berkata program jet mempunyai keperluan operasi, teknikal, pengawalseliaan dan kesediaan sendiri, disokong oleh pasukan khusus yang berasingan daripada yang mengendalikan armada turboprop semasa.
“Keselamatan kekal keutamaan utama kami dan kami tidak akan berkompromi mengenainya.
“Kami hanya akan memulakan operasi jet apabila kami benar-benar berpuas hati bahawa semua kelulusan pengawalseliaan, keperluan operasi dan piawaian keselamatan telah dipenuhi,” katanya.
Megat Ardian Wira berkata syarikat penerbangan itu komited untuk memastikan pengenalan perkhidmatan baharu yang selamat, teratur dan berjaya sambil terus meningkatkan kebolehpercayaan operasi sedia ada.
AirBorneo kini melayani 21 destinasi, dengan pangkalan operasi utama di Kota Kinabalu dan Miri. Armadanya terdiri daripada lapan pesawat ATR 72-500 dan enam pesawat DHC-6-400 Twin Otter. — Bernama



