LABUAN, 25 Mei — Seorang lelaki berusia 37 tahun telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak perempuannya yang berusia dua bulan di sebuah rumah di Kampung Bukit Kuda awal bulan ini.
Tiada Pengakuan Salah
Tiada pengakuan salah direkodkan daripada tertuduh, Azmi Amat, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Melissa Chia Pui Fung.
Menurut fakta kes, kejadian itu terbongkar selepas pihak polis menerima makluman daripada Hospital Labuan kira-kira jam 2.40 pagi pada 9 Mei mengenai seorang bayi perempuan berusia dua bulan yang dibawa ke hospital, disyaki menjadi mangsa penderaan. Bayi tersebut kemudiannya meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Keputusan Bedah Siasat
Bedah siasat mendedahkan bahawa bayi tersebut mengalami kecederaan kepala yang serius akibat trauma daya tumpul, serta beberapa patah tulang rusuk.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan selama 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, tidak kurang daripada 12 sebatan rotan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 23 Jun untuk sebutan semula kes. — Bernama



