Suspek petisyen azan Ampang disenarai hitam, dilarang keluar negara
Suspek petisyen azan Ampang disenarai hitam, dilarang keluar negara

SHAH ALAM, 26 April — Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meletakkan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam isu petisyen azan di Ampang dalam Senarai Edaran Khas bagi menghalangnya daripada melarikan diri ke luar negara.

Langkah pencegahan polis

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata langkah itu diambil susulan laporan polis yang dibuat oleh penduduk dan ahli jawatankuasa surau di kawasan perumahan berkenaan mengenai petisyen yang ditimbulkan.

“Setakat ini, suspek belum ditangkap, tetapi beliau telah diletakkan dalam Senarai Edaran Khas bagi memastikan beliau tidak meninggalkan Malaysia. Usaha mengesan dan menangkapnya sedang giat dijalankan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Setelah disenaraikan di bawah Senarai Edaran Khas ini, individu akan menghadapi kesukaran meninggalkan negara kerana nama mereka didaftarkan di lapangan terbang. Jika dikesan, mereka akan ditangkap,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri acara Run With Royalty PDRM Selangor 2026 di Elmina Lakeside Mall di sini hari ini.

Lebih awal, Shazeli mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang merasmikan upacara pelepasan peserta yang membabitkan kira-kira 8,000 orang.

Siasatan dijalankan

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia selepas siasatan awal mendapati terdapat elemen kesalahan yang dilakukan oleh suspek.

Setakat ini, polis telah merakamkan keterangan beberapa individu, termasuk wakil komuniti setempat yang terjejas dengan isu itu, bagi membantu melengkapkan kertas siasatan.

Beliau menambah bahawa seorang individu dari pejabat ahli majlis juga tampil memberikan keterangan, membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut.

“Kami masih belum mengesan suspek dan akan memanggilnya untuk membantu siasatan secepat mungkin. Jika orang ramai mengetahui keberadaannya, sila hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang supaya kami dapat melengkapkan siasatan.

“Pada peringkat ini, siasatan masih dijalankan. Kami sedang meneliti motif di sebalik kes ini. Oleh itu, kami meminta ruang untuk menjalankan siasatan yang telus dan adil untuk semua pihak,” katanya.

Nasihat kepada orang ramai

Sehubungan itu, Shazeli menasihati orang ramai supaya mengelak daripada melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan, termasuk menahan diri ketika meluahkan emosi dalam sebarang tindakan atau penulisan.

Jumaat lalu, satu jawatankuasa surau di Ampang membuat laporan di balai polis Pandan Indah terhadap individu yang didakwa membantah laungan azan, solat berjemaah di premis itu dan penggunaan ruang luar surau. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga