GEORGE TOWN, 13 Jun — Pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah (PPD), dan jabatan pendidikan negeri (JPN) diminta mengambil tindakan tegas dan segera sebaik sahaja menerima aduan salah laku, terutamanya yang melibatkan gangguan seksual terhadap pelajar.
Tindakan Segera Diperlukan
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan bahawa kes sebegini tidak boleh dipandang ringan atau dibiarkan sehingga menjadi viral sebelum tindakan diambil.
“Apabila seorang kanak-kanak melaporkan diganggu secara seksual, ibu bapa dan guru mesti mengambil tindakan. Perkara itu mesti dilaporkan kepada pihak berkuasa dan disiasat dengan teliti.
“Langkah susulan juga mesti dijalankan, termasuk memastikan kanak-kanak itu mendapat perlindungan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kes di Lawas
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa tindakan dalam kes melibatkan seorang guru dan pelajar di Lawas, Sarawak, hanya diambil selepas perkara itu menjadi viral di media sosial.
Fadhlina berkata semua PPD mesti sentiasa berwaspada terhadap kes seumpama itu dan bertindak mengikut prosedur yang ditetapkan, termasuk membuat laporan polis.
Beliau juga menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai gangguan seksual kanak-kanak supaya melaporkannya terus kepada pihak berkuasa dan bukannya hanya berkongsi di media sosial.
Garis Panduan Keselamatan Sekolah
Fadhlina berkata Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Dasar Perlindungan Pelajar Kementerian Pendidikan (KPM) harus dijadikan rujukan utama bagi semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata KPM masih menyiasat kes melibatkan seorang murid Tahun Enam di Perlis yang didakwa mengalami kecederaan serius akibat dibuli. Perkara itu juga telah dirujuk kepada pihak berkuasa.
“Kami tidak akan berkompromi dengan isu buli, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat.
“Dakwaan mesti disokong oleh siasatan yang telus dan boleh dipercayai. Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan, manakala kementerian juga menjalankan siasatan dalaman,” katanya.
Kes Guru Diserang
Mengenai insiden seorang guru disiplin didakwa diserang oleh sekumpulan pelajar semasa menjalankan tugasnya, Fadhlina berkata guru juga berhak mendapat perlindungan di bawah undang-undang ketika menjalankan kuasa dan tanggungjawab mereka. — Bernama



