Sabah Southern Madani Link pastikan pembangunan sampai pedalaman, kata PM
SIPITANG: Pelaksanaan projek grid tenaga elektrik Sabah Southern Madani Link (SSML) membuktikan komitmen kerajaan persekutuan dalam memastikan agenda pembangunan dan kemudahan asas dapat dinikmati rakyat di kawasan pedalaman Sabah. Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata projek itu selaras dasar Malaysia Madani yang menekankan pembangunan adil dan saksama, tanpa memfokuskan kemajuan hanya di kawasan bandar utama.
Beliau berkata, pembangunan sebenar tidak akan memberi kesan menyeluruh sekiranya kemudahan asas masih gagal sampai ke kawasan terpencil, khususnya di pedalaman Sabah. “Sebab itu saya terkesan dan mahu memastikan pembangunan itu merata di seluruh pelusuk negeri termasuk di kawasan pedalaman, (ini) yang membezakan pendekatan kita dengan setengah negara luar iaitu pembangunan hanya tertumpu di kota besar sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek SSML.
Turut hadir Ketua Menteri Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud. SSML melibatkan jajaran talian transmisi elektrik 275 kilovolt (kV) yang menghubungkan pantai barat dan timur Sabah sekali gus berperanan penting memperkukuh grid bekalan tenaga elektrik serta mengimbangi agihan tenaga di negeri itu.
Projek yang bermula 17 Sept tahun lepas dijadual siap pada 16 Sept 2028 dengan kos RM198 juta, manakala kemajuan semasa projek setakat 26 Mei lepas adalah pada tahap 17%. Anwar berkata, projek grid tenaga berkenaan mempunyai signifikan besar kerana memerlukan pengorbanan serta usaha gigih pekerja di lapangan yang menembusi kawasan hutan belantara di selatan Sabah bagi membangunkan rangkaian bekalan elektrik untuk rakyat.
“Saya terharu dan gembira kerana boleh lihat pencawang (talian) itu merentas belantara. Bayangkan yang kerja dia masuk hutan tinggal keluarga hanya untuk bangunkan bekalan elektrik bagi rakyat Sabah. Jadi kawan-kawan, saya ucap terima kasih penuh penghargaan dengan pengorbanan ini,” katanya. Mengulas mengenai kritikan sesetengah pihak di Parlimen berhubung peruntukan pembangunan yang tinggi untuk Sabah dan Sarawak, beliau berkata kerajaan mempertahankan tindakan itu bagi merapatkan jurang kemajuan infrastruktur dikedua-dua negeri berkenaan.



