Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 Ganti Akta Jenayah Komputer, kata MKN
RUU Jenayah Siber 2026 ganti Akta Jenayah Komputer

PUTRAJAYA, 1 Julai — Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 bukan sahaja bertujuan mematuhi Konvensyen Majlis Eropah mengenai Jenayah Siber dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menentang Jenayah Siber, tetapi juga untuk memperuntukkan kesalahan jenayah di bawah Bahagian III hingga VI Rang Undang-Undang tersebut, serta kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang melibatkan penggunaan sistem komputer.

MKN sahkan RUU berdasarkan kesesuaian undang-undang Malaysia

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang tersebut telah dirangka berdasarkan kesesuaian rangka kerja perundangan sedia ada Malaysia dan mekanisme penguatkuasaan undang-undang.

“Penyusunan Rang Undang-Undang ini mengambil kira maklum balas yang dikumpul daripada lebih 40 sesi libat urus, bengkel dan mesyuarat dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Polis Diraja Malaysia, Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, serta Konvensyen Majlis Eropah mengenai Jenayah Siber, sejak September 2023.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Selain itu, MKN melalui Agensi Keselamatan Siber Negara juga telah memberi taklimat mengenai Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen ke-15 dan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi pada 25 Februari 2026,” kata kenyataan itu.

Taklimat lanjut kepada Ahli Parlimen

Kenyataan itu menambah bahawa satu lagi taklimat juga telah diadakan untuk anggota Kelab Penyokong Kerajaan MADANI di Parlimen pada 25 Jun.

“Maklum balas dan cadangan yang diterima telah dinilai dengan teliti dari segi undang-undang, dasar dan pelaksanaan sebelum Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 dibentangkan di Parlimen,” kata kenyataan itu.

Pada 22 Jun, Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026, yang bertujuan memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563), telah dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat. Ia dijadualkan untuk bacaan kedua dan ketiga pada 1 Julai. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga