Seorang remaja perempuan yang dituduh menikam pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting hadir di Mahkamah Majistret Telok Datok di sini hari ini untuk menghadapi pertuduhan.
Ketibaan dengan kawalan ketat polis
Remaja itu tiba di kompleks mahkamah pada pukul 8.32 pagi dengan kawalan ketat polis. Beliau sebelum ini direman selama empat hari bermula 7 Julai, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Ahli media yang tiba di kompleks mahkamah sebelum itu tidak dibenarkan masuk kerana kes melibatkan pesalah juvana.
Motif dendam dikenal pasti
Semalam, media melaporkan bahawa perasaan dendam terhadap rakan sekolah dipercayai menjadi motif di sebalik tikaman ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat pada Isnin.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, bagaimanapun, siasatan awal termasuk rakaman keterangan daripada beberapa individu dan 10 pelajar yang namanya tersenarai dalam nota yang tersebar di media sosial mendapati kejadian itu tidak dikaitkan dengan buli.
Kenyataan Jabatan Pendidikan
Lebih awal, Jabatan Pendidikan Selangor dalam satu kenyataan berkata, suspek yang dipercayai menikam pelajar perempuan di sebuah sekolah di Banting telah ditangkap polis, manakala pelajar yang cedera menerima rawatan di Hospital Banting. — Bernama



