Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuching hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang basikal pada 1 Mei lalu.
Elijah Jeremiah Yeo Shi Xian membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali. Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara berbahaya dan melanggar penunggang basikal sehingga menyebabkan kematian di Jalan Stutong, pada jam 5.30 pagi, Jumaat lalu.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, serta denda maksimum RM50,000. Selain itu, pesalah juga akan hilang kelayakan mendapat lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan lesen akan dibatalkan sekiranya memegang lesen memandu percubaan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin. Mahkamah juga menetapkan 23 Jun ini untuk pengurusan kes. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji, manakala tertuduh diwakili peguam Daniel Ling.



