IPOH, 6 Mei — Polis telah menangkap seorang lelaki tempatan yang disyaki mencuri kabel milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sepanjang landasan kereta api pada Kilometer 181.9 berhampiran Jalan Tun Perak pada hari Isnin.
Butir-butir Tangkapan
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah berkata, tangkapan pada jam 4.30 petang itu dilakukan oleh polis bantuan KTMB bersama-sama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semasa melakukan rondaan.
“Suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditahan. Polis turut merampas sebuah beg plastik yang mengandungi tiga gulung kabel yang dipercayai milik KTMB.
“Ujian air kencing terhadap suspek mendapati positif methamphetamine dan pemeriksaan mendapati dia mempunyai tujuh rekod jenayah dan 15 rekod berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek yang berusia 39 tahun itu telah direman selama tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 66 Akta Keretapi 1991. — Bernama



