Seorang wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan mewajibkan saringan dadah berkala dan rawak ke atas semua pemandu kenderaan berat dan awam, susulan nahas mengorbankan empat nyawa di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.
Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin berkata pemandu yang gagal ujian berkenaan mestilah digantung serta-merta daripada operasi sehingga mereka disahkan layak semula untuk memandu.
“Tragedi ini mendedahkan kegagalan sistemik dalam pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan pengangkutan negara yang tidak boleh lagi dipandang ringan,” katanya yang juga ketua portfolio Pengangkutan PN dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, pemimpin PAS itu turut menggesa kerajaan mengintegrasikan rekod kesalahan antara polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) secara digital dan masa nyata.
“Langkah ini penting bagi mewujudkan sistem amaran awal serta sekatan automatik terhadap pemandu kenderaan perdagangan yang mempunyai rekod kesalahan serius atau berulang,” katanya.
Beliau menambah, prinsip liabiliti mutlak perlu dikuatkuasakan terhadap firma logistik yang cuai membenarkan pemandu berisiko tinggi terus bertugas. Katanya, tindakan tegas itu perlu merangkumi penalti lebih berat, audit keselamatan mandatori, serta tindakan penggantungan atau pembatalan permit operasi syarikat terbabit.
“Tiada kompromi boleh diberikan terhadap mana-mana pihak yang cuai atau membiarkan individu berisiko tinggi terus beroperasi,” katanya yang turut memetik data rasmi yang merekodkan 1,457 kematian dalam 3,500 kemalangan melibatkan lori antara 2019 hingga November 2024, sebagai bukti industri itu memerlukan reformasi menyeluruh.
Empat sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap treler di KM43.2 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Karak, Bentong, petang semalam. Polis mengesahkan pemandu treler yang terbabas menghempap kereta dalam nahas itu positif dadah selain mempunyai 15 rekod saman trafik.
Khairil Nizam menegaskan bahawa lesen pemandu yang gagal ujian dadah hendaklah digantung serta-merta sehingga mereka disahkan layak semula. Beliau juga menekankan keperluan tindakan tegas terhadap syarikat logistik yang cuai, termasuk penalti lebih berat dan audit keselamatan mandatori.



