KUALA TERENGGANU, 3 Jun — Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu secara merbahaya yang mengakibatkan kematian seorang remaja lelaki dalam kemalangan di Jalan Losong Feri pada bulan Mei.
Asrizal Hisham Khalid, 43, didakwa memandu secara merbahaya sebuah kereta Volkswagen GTI yang mengakibatkan kematian Wah Han Keong, 18, pada jam 3.36 petang, 19 Mei.
Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun serta denda tidak kurang daripada RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh juga berdepan dengan pelucutan hak untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.
Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin membenarkan Asrizal Hisham diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan bahawa lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai dibicarakan.
Mahkamah menetapkan 3 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ameena Azzuhriyyah Ahmad manakala tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sebelum ini, dilaporkan bahawa sebuah kereta Volkswagen GTI yang membawa lima sekeluarga hilang kawalan dan melanggar tiang Jabatan Kerja Raya (JKR) di tengah jalan.
Kereta itu kemudiannya memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah van yang membawa mangsa dan bapanya.
Kemalangan itu menyebabkan tiang JKR tumbang dan menembusi van sebelum menikam kepala mangsa. — Bernama



