KUANTAN, 15 Julai — Seorang ahli perniagaan dan pembantu peribadinya telah direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan identiti rasmi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Perintah reman dikeluarkan majistret
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata perintah reman sehingga 18 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Ellyna Othman terhadap ahli perniagaan berusia 45 tahun dan pembantunya yang juga berusia 45 tahun.
“Kedua-dua lelaki itu ditangkap di sebuah rumah di Cyberjaya kira-kira jam 11 pagi semalam bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat berikutan laporan polis yang dibuat pada 10 Julai oleh Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah, atas arahan Tengku Mahkota,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dokumen palsu dikesan Istana Pahang
Beliau berkata laporan itu dibuat selepas Istana Pahang mengesan beberapa dokumen yang dipercayai dipalsukan, mengandungi Lambang Diraja Tengku Mahkota Pahang, kepala surat Unit Tengku Mahkota Pahang, serta nama dan tandatangan baginda, semuanya digunakan tanpa kebenaran.
“Antara dokumen yang disyaki dipalsukan ialah surat tawaran, surat lantikan dan surat sokongan berkaitan pelantikan pengurusan tanah di Pahang, yang kononnya dikeluarkan dengan izin Tengku Mahkota Pahang,” katanya.
Siasatan awal: Dokumen ditunjukkan kepada Tengku Hassanal
Azry Akmar berkata siasatan awal mendapati dokumen tersebut telah ditunjukkan kepada Tengku Hassanal pada 8 Julai oleh seorang individu yang mendakwa menerimanya daripada seorang lelaki bergelar ‘Datuk’.
“Pemeriksaan mendapati tiada satu pun dokumen itu dikeluarkan secara rasmi oleh Unit Tengku Mahkota Pahang. Nama dan tandatangan Setiausaha Sulit baginda juga digunakan tanpa kebenaran,” katanya.
Arahan Tengku Mahkota: Laporan polis dan siasatan segera
Beliau berkata Tengku Mahkota Pahang telah mengarahkan supaya laporan polis dibuat dan siasatan dipercepatkan kerana kes ini melibatkan penyalahgunaan identiti rasmi Institusi Diraja Pahang yang boleh menjejaskan kredibilitinya.
Kes ini disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan untuk tujuan penipuan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. — Bernama



