Peniaga belon didakwa sebabkan kematian lelaki dalam kes letupan tong helium
Peniaga belon didakwa sebabkan kematian lelaki

PETALING JAYA: Seorang peniaga belon didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki akibat perbuatan cuai dalam kejadian letupan tong gas helium, di sebuah tapak ekspo pada Khamis lalu.

Hasrul Nizam Abu Hasan, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Saiful Akmal Mohd Razi, lapor Kosmo. Mengikut pertuduhan, Hasrul didakwa menyebabkan kematian Azmi Ahmad, 42, dengan melakukan perbuatan cuai iaitu mengubahsuai serta menggunakan tong gas helium buatan sendiri sehingga mengakibatkan letupan.

Hasrul yang juga peniaga makanan didakwa melakukan perbuatan itu di tapak ekspo Jam Besar di Jalan Ibrahim, Sungai Petani kira-kira 7.53 malam, 21 Mei lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamarulzaman manakala Hasrul diwakili peguam Muhammad Adam Burhanudeen. Adlin kemudiannya menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin tetapi Adam merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya menanggung isteri serta empat anak berusia antara tiga hingga 15 tahun. Adam berkata, tertuduh juga menjaga ibu bapa yang uzur selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas tong gas helium yang digunakan untuk mengisi belon jualan meletup di tapak ekspo dekat Dataran Jam Besar. Dalam kejadian kira-kira 7.50 malam itu, mangsa yang merupakan peniaga minuman maut dengan kecederaan parah pada dada dan putus tangan kanan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga