Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor atas pertuduhan membunuh rakannya di sebuah tapak pelupusan sampah di Ijok, Kuala Selangor, awal bulan ini.
Tertuduh, KK Turairajoo, 43, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Muhammad Ghulam. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki itu didakwa membunuh S Lachumanan, 23, di tapak pelupusan sampah Ladang Tuan Mee, Ijok, dalam daerah Kuala Selangor antara 4.41 petang 11 Mei hingga 4.42 pagi 14 Mei lepas.
Pada 11 Mei lepas, mangsa ditemui oleh ahli keluarganya dalam keadaan cedera parah serta berlumuran darah di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan. Mangsa disahkan meninggal dunia pada 14 Mei ketika menerima rawatan.
Bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala, muka dan kedua-dua lengan akibat objek tumpul dan senjata tajam selain mengalami pendarahan otak serta retak tulang muka.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai untuk sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat dan kimia.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala K Turairajoo tidak diwakili peguam.



