Pengasuh didakwa bunuh bayi di taska, kes ditetapkan 14 Julai
Pengasuh didakwa bunuh bayi di taska, kes 14 Julai

PETALING JAYA: Seorang pengasuh wanita berusia 28 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah taska di Bandar Kinrara, Puchong, minggu lalu.

Tertuduh, Balqish Mohammad Dzyhan, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Menurut kertas pertuduhan, Balqish didakwa membunuh Muhammad Eiden Faheem Mohammed Nor Syafiq di taska berkenaan antara pukul 9.30 pagi hingga 10.40 pagi pada 5 Mei lalu. Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dihukum gantung.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Timbalan Pendakwa Raya Ainul Athirah Jamalullail mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Suraj Singh. Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh, dan mahkamah menetapkan 14 Julai depan untuk laporan bedah siasat serta laporan kimia.

Peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Nur Syakirah Nor Azam Shah, turut hadir dalam prosiding tersebut.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga