Pengarah rangkaian restoran steamboat didakwa CBT RM1.4 juta
Pengarah restoran steamboat didakwa CBT RM1.4 juta

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Seorang pengarah rangkaian restoran steamboat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang melibatkan lebih RM1.4 juta dana syarikat dua tahun lalu.

Tertuduh didakwa salah guna dana syarikat

Yong Pitt Lok, 48, dituduh dalam kapasitinya sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal dana syarikat, melakukan CBT sebanyak RM1,468,958.29, yang didakwa dipindahkan ke akaun bank peribadinya untuk kepentingan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Radin Bagus 8, Bandar Baru Sri Petaling, antara 11 Mac dan 24 Oktober 2024.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan, dan juga boleh didenda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zul Hilmi Latiff mencadangkan jaminan sebanyak RM120,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Lee Keng Fatt yang mewakili tertuduh merayu supaya jaminan dikurangkan kepada kira-kira RM50,000 atas alasan anak guamnya adalah pencari nafkah tunggal keluarga dan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.

“Anak guam saya tidak berisiko melarikan diri dan telah memberikan kerjasama yang baik kepada polis sepanjang siasatan. Beliau juga tidak pernah gagal hadir apabila dipanggil tiga kali untuk memberikan keterangan.

“Kami memohon mahkamah tidak merampas pasport anak guam saya kerana beliau memerlukannya untuk urusan perniagaan ke luar negara. Kami memohon jaminan kira-kira RM50,000,” kata peguam itu.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun untuk sebutan semula kes. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga