Pemandu Myvi langgar lari budak ditahan polis
Pemandu Myvi langgar lari budak ditahan polis

Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai melarikan diri selepas melanggar penunggang basikal kanak-kanak dalam kejadian di Jalan Wirawati 5, Kampung Pandan, pagi tadi. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata suspek yang memandu Perodua Myvi dikesan berjaya hasil maklumat awam dan siasatan lanjut pihaknya.

Kronologi kejadian

“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 7.26 pagi melibatkan sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki tempatan berusia 45 tahun dengan basikal ditunggang kanak-kanak lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta itu membelok keluar simpang ke kanan sebelum melanggar bahagian belakang basikal mangsa sehingga menyebabkan kanak-kanak itu terjatuh atas jalan raya.

Katanya, pemandu terbabit dipercayai terus meninggalkan lokasi kejadian tanpa berhenti. “Semakan mendapati suspek menggunakan kenderaan milik adiknya dan pemegang kad OKU kategori ketidakupayaan mental. Dia juga mempunyai lesen memandu yang masih aktif,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Status mangsa dan siasatan

Zamzuri berkata, kecederaan penunggang basikal itu masih belum dapat dipastikan dan polis meminta ahli keluarga mangsa membuat laporan bagi membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga