Mahkamah lulus lelong aset Jamal Yunos selepas gagal bayar Teresa Kok
Mahkamah lulus lelong aset Jamal Yunos

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Sebanyak 14 harta alih yang dirampas dari kediaman ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan dilelong pada 22 Jun selepas beliau gagal membayar penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, dalam kes saman fitnah.

Permohonan anak Jamal ditolak

Peguam Datuk SN Nair, yang mewakili Kok, berkata Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan tuntutan interpleader yang dikemukakan oleh anak Jamal, Muhammad Amin Daniel, yang mendakwa bahawa barang yang dirampas itu adalah miliknya.

“Permohonan Muhammad Amin Daniel ditolak dengan kos RM8,000. Bagaimanapun, seorang individu lain bernama Mohd Razali Kamin telah memfailkan notis penarikan balik tuntutan interpleader dan beliau diperintahkan membayar kos RM2,000.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Oleh itu, tiada lagi halangan kepada prosiding untuk pelaksanaan penghakiman. Lelongan barang yang dirampas ditetapkan pada 22 Jun 2026 jam 10 pagi,” katanya ketika dihubungi selepas prosiding di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Qasiratul Jannah Usmani Othman yang berlangsung melalui persidangan video hari ini.

Proses rampas dan lelong

Pada 28 Januari lalu, Penolong Kanan Pendaftar bersama bailif, peguam dan pegawai polis pergi ke kediaman Jamal di Ampang Jaya, Selangor, untuk melaksanakan writ rampasan dan penjualan terhadap 14 harta alih yang berkenaan.

Pelaksanaan writ rampasan dan penjualan oleh bailif mahkamah adalah untuk mendapatkan jumlah penghakiman tertunggak, iaitu kos yang sepatutnya dibayar kepada Kok dalam kes saman itu, tetapi masih belum dibayar.

Latar belakang kes

Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar RM300,000 ganti rugi kepada Kok. Jamal telah membayar ganti rugi tersebut.

Pada 26 Julai 2022, Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Kok.

Kok memfailkan saman pada 6 April 2017, mendakwa bahawa Jamal telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya berhubung dana Yawas semasa sidang akhbar pada 8 Mac tahun yang sama.

Melalui pernyataan tuntutan, Kok mendakwa bahawa kenyataan fitnah itu disebarkan melalui media cetak dan elektronik, termasuk melalui akaun Facebook Jamal, yang memberikan gambaran bahawa dia telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk keuntungan peribadi dan merupakan seorang yang tidak beretika. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga