Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun ke atas seorang bekas anggota Rela kerana menembak mati rakannya yang juga merupakan bekas ketua Bahagian MCA Marang di sebuah kuil di Terengganu, lima tahun lalu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak rayuan Ong Chow Lee, 62, untuk membatalkan sabitan membunuh yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2 Julai 2025.
“Mahkamah mendapati rayuan perayu tidak mempunyai merit. Oleh itu, rayuan ditolak,” katanya, bersama-sama dengan Hakim Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Ravinthran Paramaguru.
Pada 9 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atas Ong selepas dia mengaku bersalah membunuh Fong Swee Fuan, 65, di sebuah kuil Cina di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang antara 1.20 petang dan 1.55 petang pada 23 Julai 2021, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ong juga dijatuhi hukuman penjara 13 tahun selepas mengaku bersalah kerana cuba membunuh anak saudara mangsa, Teo Hock Beng, 48, yang ditembak di lengan kiri pada 1.55 petang, 23 Julai 2021 di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Kedua-dua hukuman penjara akan berjalan serentak dari tarikh tangkapannya pada 23 Julai 2021.
Bagaimanapun, Ong tidak merayu terhadap pertuduhan cubaan membunuh Teoh.
Mahkamah Rayuan pada 2 Julai 2025 menolak rayuan perayu terhadap sabitan dan hukuman serta mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Semasa rayuan, Ong meminta Mahkamah Rayuan menghantar semula kesnya ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan semula, dengan alasan dia telah dipengaruhi oleh peguam lamanya untuk mengaku bersalah, kerana percaya dia hanya akan menerima hukuman penjara 15 tahun, sedangkan hukuman minimum bagi membunuh adalah 30 tahun.
Sebelum itu, peguam Ahmad Ridzuan Awang berhujah bahawa terdapat kesilapan fakta dan undang-undang apabila Hakim Mahkamah Tinggi menerima pengakuan bersalah Ong tanpa menjelaskan sifat dan akibat pengakuan bersalah tertuduh.
Beliau berkata nota prosiding merekodkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi dengan teliti menawarkan jurubahasa Cina kepada tertuduh, tetapi Ong memilih untuk mendengar dua pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi cubaan membunuh dalam Bahasa Malaysia.
“Penggunaan Bahasa Malaysia dalam membaca pertuduhan tidak membenarkan mahkamah menganggap bahawa tertuduh telah memahami pertuduhan terhadapnya dan memahami sifat serta akibat pengakuan bersalahnya,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berhujah bahawa pengakuan bersalah Ong adalah jelas teratur dan mengikut prosedur undang-undang, selain perayu sendiri menyatakan dia memahami sifat dan akibat pengakuan bersalah itu.
“Adalah tidak munasabah dan tiada sebab bagi mahkamah atau peguam untuk menafikan hak perayu mendapatkan perkhidmatan jurubahasa pada hari prosiding kerana nota prosiding jelas menunjukkan bahawa jurubahasa Cina disediakan dan hadir pada hari tersebut.
“Mahkamah mendapati jelas bahawa perayu telah disoal beberapa kali dan dia sendiri mengesahkan bahawa dia memahami bahasa Melayu dan tidak memerlukan jurubahasa Cina dan juga diwakili oleh peguam semasa prosiding,” katanya.



