PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Malaysia bersenjatakan dua bilah pisau telah ditahan malam tadi selepas mengamuk di sekitar deretan kedai di Damansara Perdana, di sini.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 malam, dan anggota polis yang dihantar ke lokasi menemukan suspek berhampiran tangga salah sebuah kedai.
“Anggota polis menghampiri suspek dan mengarahkannya menyerahkan senjata tersebut. Dia kemudiannya ditahan tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya menurut Berita Harian.
Kertas siasatan telah dibuka terhadapnya kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam untuk tujuan yang menyalahi undang-undang. Suspek direman sehingga 7 Mei.



