Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor telah merampas 31,140 unit detergent, 40,000 pembungkusan plastik dan beberapa dokumen yang dipercayai membawa logo halal tidak diperakui dalam serbuan di sebuah kilang di Seri Kembangan, Selangor, pagi tadi.
Serbuan bersama Jabatan Imigresen Putrajaya
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asaari, berkata serbuan yang dijalankan bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Putrajaya (JIM) pada pukul 11.25 pagi itu membawa kepada rampasan barangan dengan nilai dianggarkan RM215,700.
Beliau berkata seorang pengarah syarikat dan lima pekerja asing diperiksa semasa operasi untuk membantu siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Operasi berdasarkan aduan awam
“Operasi bersepadu ini dijalankan berikutan aduan orang ramai mengenai penggunaan logo halal tidak sah pada produk yang dibungkus oleh syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Siasatan awal mendapati kilang itu memasarkan produk detergennya secara dalam talian.”
Kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011
Kes ini disiasat di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, khususnya Subperenggan 8(b) perintah yang sama.



